GEORGE TOWN: Pendakwah Firdaus Wong memfailkan saman fitnah terhadap bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, di Mahkamah Tinggi berhubung dakwaan bahawa beliau seorang pelampau.
Dalam samannya, Wong mendakwa Lim membuat kenyataan berunsur fitnah terhadapnya menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook pada 24 Jun.
Wong mendakwa kenyataan Lim dalam bahasa Mandarin itu menggambarkannya sebagai seorang 'pelampau agama yang tidak bertoleransi' dan sanggup mengeksploitasi isu agama untuk menyekat hak serta kebebasan masyarakat bukan Islam.
Beliau turut mendakwa kenyataan berkenaan menyebabkan dirinya dipandang hina dalam kalangan masyarakat bukan Islam.
“Kenyataan defendan (Lim) diterbitkan dengan niat jahat dan bertujuan membangkitkan kebencian terhadap plaintif,” kata Wong dalam pernyataan tuntutannya.
Wong berkata surat tuntutan yang antara lain menuntut permohonan maaf secara terbuka telah dihantar kepada peguam Lim pada Julai, namun mendakwa tuntutan itu tidak dipenuhi.
Beliau menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan daripada Lim, selain injunksi.
Mahkamah menetapkan 27 Okt ini untuk pengurusan kes.
