PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) komited memastikan setiap inisiatif diumumkan menerusi Belanjawan 2027 dilaksanakan dengan berkesan dan diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat, industri serta negara.
Badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 itu memaklumkan setiap inisiatif tersebut diyakini akan terus memacu pembangunan ekonomi digital serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara digital berdaya saing.
"Antara inisiatif utama yang diumumkan ialah peruntukan RM5 bilion bagi Jalinan Digital Negara untuk memperluas liputan internet berkualiti tinggi di kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk perkampungan Orang Asli.
"Peruntukan itu turut meliputi peningkatan kesalinghubungan merentasi 7,000km jalan raya dan lebuh raya serta 1,700km laluan rel di seluruh negara," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, RM1 bilion diperuntukkan bagi memperkasa ekosistem kesihatan digital negara menerusi inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara.
Inisiatif itu akan meningkatkan infrastruktur dan kesalinghubungan digital sektor kesihatan, termasuk menyokong peluasan Sistem Rekod Perubatan Elektronik, telekesihatan serta penggunaan dron bagi penghantaran ubat, sekali gus menambah baik akses kepada perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Sebanyak RM142 juta pula diperuntukkan bagi memperkasakan Pusat Sebaran Maklumat Nasional sebagai hab komuniti digital melalui latihan kemahiran digital dan kecerdasan buatan (AI), selain menyokong pembangunan ekonomi serta keusahawanan setempat.
Jelasnya, pembangunan Sistem Kabel Dasar Laut Madani akan meningkatkan kapasiti dan daya tahan rangkaian antara Semenanjung, Sabah serta Sarawak bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital lebih inklusif dan mampan.
Dalam sektor pendidikan, penyediaan Wi-Fi di semua institusi pendidikan tinggi awam akan memperluas akses internet kepada pelajar, selain menyokong pembelajaran digital dan pembangunan bakat masa depan.
Bagi memperkukuh keselamatan digital, pembangunan Sovereign AI Cloud dan usaha meningkatkan keselamatan siber negara akan memfokuskan kedaulatan data, pembangunan AI selamat serta daya tahan ekosistem digital.
SKMM juga akan terus memperhebat Kempen Internet Selamat di sekolah seluruh negara dan membanteras penipuan digital, termasuk menerusi tindakan menyekat lebih 5.7 bilion panggilan dan khidmat pesanan ringkas berunsur penipuan.
