KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan kebimbangan terhadap isu kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang dilihat semakin meruncing sehingga menyebabkan berlaku kehilangan nyawa.
Menurut hantaran Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, keprihatinan baginda terhadap kesejahteraan mental dan emosi generasi muda mendorong Istana Negara mengambil langkah proaktif dengan mengadakan sesi perbincangan bagi meneliti inisiatif berkaitan pembangunan serta pemerkasaan sistem aduan dan kaunseling.
Inisiatif itu khusus bagi membantu golongan remaja yang berdepan tekanan emosi, masalah kesihatan mental dan pelbagai cabaran kehidupan.
Sesi perbincangan itu diketuai Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Azuan Effendy Zairakithnaini dengan penglibatan beberapa agensi kerajaan termasuk Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Komunikasi, polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh mekanisme aduan dan saluran bantuan yang mudah diakses, selamat serta berkesan di samping meningkatkan keberkesanan sistem sokongan kepada pelajar yang memerlukan perhatian dan bantuan,” menurut hantaran itu.
Di samping itu, penglibatan langsung oleh Persatuan Kaunseling Malaysia yang bekerjasama rapat dengan KPWKM menerusi penglibatan kaunselor berdaftar dan terlatih dengan Lembaga Kaunselor Malaysia juga dipelopor bagi tujuan itu.
Menerusi hantaran itu, Raja Permaisuri Agong bertitah, kesihatan mental kanak-kanak dan anak remaja mesti diberikan keutamaan kerana golongan itu perlu mengetahui bahawa mereka disayangi.
“Ia amanah kita semua tanpa mengira pangkat, kedudukan atau pekerjaan kita untuk menjaga kesihatan mereka dari segi fizikal, mental dan mengambil berat emosi yang mereka rasai semasa di rumah atau di sekolah.
“Kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental perlu terus dipertingkatkan agar tanda-tanda tekanan emosi dapat dikenal pasti lebih awal dan bantuan sewajarnya dapat diberikan,” titah baginda.
