PETALING JAYA: Bekas ketua menteri Melaka, Sulaiman Ali tidak akan bertanding PRN pada 14 Nov ini selepas mewakili Lendu selama tiga penggal.
"Cukup sudah saya bertanding," kata ketua menteri Melaka dari 2020 hingga 2023 itu sebelum digantikan Ketua Umno negeri, Ab Rauf Yusoh, menurut Berita Harian.
Sulaiman pertama kali memenangi DUN Lendu dalam PRU13 pada 2013 dan berjaya mempertahankan kerusi itu dua penggal berikutnya, dengan majoriti selesa 3,104 undi pada PRN Melaka 2021.
Dengan sokongan Bersatu, beliau dilantik ketua menteri Melaka pada Mac 2020 susulan kejatuhan kerajaan negeri Pakatan Harapan.
Selepas PRN 2021, beliau dilantik semula untuk satu lagi penggal, namun timbul khabar angin Rauf berusaha menyingkirkannya daripada jawatan tertinggi itu.
Pada Mac 2023, Sulaiman melepaskan jawatan ketua menteri walaupun menafikan selama berbulan-bulan untuk berundur, dengan Rauf akhirnya mengambil alih jawatan itu.
Tetapi, Sulaiman menafikan beliau dipaksa melepaskan jawatan ketua menteri dan menggesa rakyat Melaka terus memberi sokongan kepada Rauf.
PRN Melaka akan diadakan pada 14 Nov ini.
