KUALA LUMPUR: Pembangkang mencadangkan Hospital Putrajaya dinamakan Hospital Dr Hasmah Ali bagi menghargai sumbangannya terhadap pembangunan kesihatan awam negara.
Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, berkata Perikatan Nasional (PN) akan merealisasikan cadangan itu jika diberi mandat memerintah negara.
“Kita boleh cadangkan. Kalau kerajaan (semasa) tak buat, lain kali kita buat,” kata Ahli Parlimen Larut ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Beliau menyokong cadangan Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) supaya hospital itu dinamakan sempena isteri bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara pada 28 Sept lalu dan dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya.
Dalam perbahasan sama, Hamzah turut menggesa Lembaga Tabung Haji (TH) mengkaji semula syarat simpanan minimum RM15,000 bagi pendeposit yang ingin melayakkan diri memasuki senarai menunggu menunaikan haji.
Katanya, syarat itu boleh membebankan penduduk luar bandar yang mengumpul wang sedikit demi sedikit, selain menimbulkan kebimbangan pendeposit sedia ada terkeluar daripada senarai berkenaan.
Beliau juga mempersoalkan keberkesanan langkah kerajaan membantu TH berkaitan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB).
Katanya, pembangkang akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang bagi memastikan tindakan kerajaan dilaksanakan secara adil tanpa memilih pihak.
