PETALING JAYA: Backbencher Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memastikan kerajaan Sarawak terus dipantau sekiranya GPS berjaya menyapu bersih semua kerusi pada PRN akan datang, kata Menteri negeri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Karim berkata 'backbencher' akan bertindak sebagai kumpulan pendesak seperti pembangkang sekiranya GPS memenangi semua 82 kerusi dalam pilihan raya itu, lapor Dayak Daily.

“Kita mempunyai mekanisme semak dan imbang sendiri, termasuk unit ombudsman dan mekanisme lain untuk memastikan akauntabiliti,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
GPS kini memegang 80 daripada 82 kerusi dalam DUN Sarawak, manakala baki dua kerusi, Padungan dan Pending, diwakili DAP.
Karim yang juga ketua penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti utama GPS, memberitahu FMT tahun lalu bahawa kerajaan negeri pimpinan GPS mempunyai mekanisme semak dan imbang yang mencukupi meskipun terdapat kebimbangan mengenai ketiadaan pembangkang yang kuat.
Pada November 2023, Sarawak menjadi negeri pertama yang menubuhkan unit ombudsman melalui undang-undang selepas Rang Undang-Undang Ombudsman Sarawak diluluskan di DUN.
Bagaimanapun, pada 2025, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen menuduh kerajaan negeri sengaja melengah-lengahkan pembentangan laporan daripada unit itu.
