Seorang penjual buah berusia 50 tahun maut selepas gerainya dirempuh lori treler membawa kayu balak di Jalan Labuk, Sandakan, kata Ketua Polis Daerah
SANDAKAN: Seorang penjual buah maut selepas gerainya dirempuh lori treler membawa muatan kayu balak yang terlibat kemalangan dengan dua kenderaan lain di Jalan Labuk, Batu 27, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP George Abd Rakman berkata kejadian berlaku pada 8.30 pagi dan wanita berusia 50 tahun itu disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Ulu Dusun ketika menerima rawatan.
“Lori treler itu terlibat kemalangan dengan lori kargo 10 tan dan sebuah kereta. Kemalangan juga menyebabkan seorang wanita berusia 31 tahun yang menaiki lori kargo cedera parah kerana tersepit di bahagian depan lori,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata tiga mangsa termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dilaporkan selamat.
Siasatan lanjut termasuk punca kemalangan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, beliau berkata kerja mengalihkan kayu balak yang bertaburan di jalan raya sedang dilakukan bagi membolehkan laluan itu dapat dilalui pengguna.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Jimmy Lagung berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Ernawati Lajaruddin dan operasi melibatkan pasukan itu tamat pada 9.34 pagi.
