PETALING JAYA: Cadangan menyita aset pesalah trafik bagi membayar pampasan kepada mangsa nahas perlu dilaksanakan berlandaskan undang-undang dan tidak boleh menjejaskan hak ahli keluarga yang tidak bersalah, kata pakar.

Pakar Kriminologi Universiti Malaya, Haezreena Begum Abdul Hamid, berkata penyitaan aset mesti berlandaskan undang-undang bagi melindungi hak keluarga pesalah yang tidak bersalah.
Katanya, keadilan bukan sekadar memastikan mangsa menerima pampasan tetapi melindungi hak pihak ketiga mengikut garis panduan mahkamah.
“Penyitaan mesti mempunyai asas undang-undang yang jelas. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil aset pasangan atau ahli keluarga yang tidak bersalah hanya kerana mereka mempunyai hubungan dengan pesalah,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, hukuman kewangan semata-mata tidak menjamin pengurangan kesalahan trafik jika tidak disertai penguatkuasaan undang-undang yang konsisten.
Pada 15 Okt lalu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan menyita aset pesalah trafik yang disabitkan kesalahan serius bagi membayar pampasan kepada mangsa kemalangan jalan raya dan keluarga mereka.
Katanya, langkah itu antara beberapa pilihan sedang diteliti bagi memastikan mangsa atau keluarga mereka tetap menerima pampasan, khususnya apabila pesalah tidak mampu membuat bayaran.

Sementara itu, Pakar Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia, Law Teik Hua, berkata penyitaan aset mungkin memberi kesan pencegahan dari sudut kewangan, tetapi tidak mampu mengubah sikap pemandu atau mengurangkan kadar kematian jalan raya secara bersendirian.
Katanya, kerajaan perlu mengutamakan pencegahan melalui penguatkuasaan berterusan terhadap kesalahan seperti memandu bawah pengaruh alkohol atau dadah, memandu laju dan melanggar lampu merah, selain memperkemas Sistem Mata Demerit Kejara.
“Kerajaan tidak seharusnya bergantung pada hukuman berat semata-mata. Punca kemalangan perlu ditangani secara menyeluruh merangkumi reka bentuk jalan raya yang selamat, menangani lokasi berisiko dan penguatkuasaan automatik,” katanya.
Bagi mengelakkan mangsa terbeban sementara menunggu proses penjualan aset selesai, Law mencadangkan kerajaan mewujudkan dana pampasan sementara sebelum mendapatkan semula wang daripada pesalah melalui saluran undang-undang.
