KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan mengambil tindakan tatatertib terhadap Bersatu kerana bertindak bertentangan dengan kepentingan gabungan itu termasuk bertanding menentang PN dalam PRN Negeri Sembilan.
Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat tergempar Ahli Majlis Tertinggi yang dipengerusikan Pengerusi PN, Samsuri Mokhtar sebentar tadi.
Katanya, tindakan itu diambil berdasarkan Fasal 15 perlembagaan gabungan itu.
“PN akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dalam satu prosiding tata tertib dan pertuduhan-pertuduhan yang dibuat akan didraf kepada Bersatu.
“Mereka sudah tentulah akan diberikan masa, tempoh masa yang mencukupi untuk menjawab pertuduhan-pertuduhan tersebut,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat itu yang tidak dihadiri Bersatu.
Menurutnya, mengikut fasal itu, tindakan yang boleh dikenakan termasuklah amaran, penggantungan atau pemecatan, bergantung kepada tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan.
Takiyuddin berkata PN akan meneliti beberapa perkara yang didakwa bercanggah dengan kepentingan gabungan itu yang dilakukan Bersatu sebelum memuktamadkan pertuduhan.
Katanya, antara contoh perkara yang bercanggah dengan kepentingan PN dilakukan Bersatu adalah bertanding menentang calon gabungan itu seperti yang berlaku dalam PRN Negeri Sembilan.
Dalam perkembangan berasingan, Takiyuddin berkata PN akan menggunakan logo gabungan itu pada PRN Melaka bulan depan.
Katanya, PN dijadual mengumumkan calon pada 29 Okt ini namun jumlah kerusi yang akan ditandingi serta calon setiap parti anggota masih belum dimuktamadkan.
