Terbaik, tahniah semua!
Cover image via Kosmo!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sekumpulan pelajar dan pensyarah Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun, Terengganu berjaya mengharumkan nama institusi itu apabila muncul juara keseluruhan kategori 150cc dalam pertandingan Formula Student Malaysia 2026
Kejayaan pasukan Formula Racing Automotive Centre of Technology (FRATeC) itu diraih selepas mereka memenangi gelaran Johan Statik dan Johan Dinamik dalam pertandingan yang berlangsung di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah, Perak baru-baru ini.
Lebih membanggakan, kereta lumba berkenaan dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan terbabit dalam tempoh kira-kira dua bulan, bermula daripada proses reka bentuk sehingga pemasangan setiap komponen.
Menurut laporan Kosmo!, pensyarah pembimbing pasukan, Rosli Abdul Aziz berkata, pencapaian itu membuktikan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mempunyai keupayaan untuk bersaing dengan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta lain di peringkat kebangsaan.

Difahamkan, setiap komponen kereta perlu dirancang serta dipasang dengan teliti bagi memastikan kenderaan itu memenuhi spesifikasi pertandingan dan mampu memberikan prestasi terbaik ketika diuji di litar.
Beliau berkata, proses menghasilkan kereta lumba itu turut menuntut komitmen tinggi daripada semua ahli pasukan, terutama dalam membahagikan masa antara tanggungjawab akademik, latihan dan kerja-kerja pembinaan kenderaan.
Formula Student Malaysia merupakan pertandingan tahunan yang menghimpunkan pasukan daripada institusi pengajian tinggi seluruh negara bagi menguji kebolehan pelajar dalam mereka bentuk, membina dan mengendalikan kereta formula mengikut piawaian ditetapkan.
Sebanyak 12 pasukan menyertai pertandingan edisi kali ini dengan mempertandingkan kereta formula hasil binaan masing-masing, sekali gus menjadikan persaingan lebih kompetitif
Sementara itu, ahli pasukan FRATeC, Mohamad Aiman Danish Ab. Halim, 19, berkata pengalamannya membina kereta lumba sejak peringkat awal memberikan pendedahan praktikal yang sukar diperoleh hanya melalui pembelajaran di dalam kelas.
Pelajar semester tiga Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PSMZA itu berkata, antara cabaran utama yang dihadapi pasukan ialah memastikan setiap komponen berfungsi dengan baik dan memenuhi keperluan pertandingan.
Katanya, mereka perlu menjalankan pelbagai ujian serta melakukan penambahbaikan sebelum kereta berkenaan benar-benar bersedia untuk diuji di litar.

Kerjasama antara ahli pasukan dan bimbingan pensyarah turut membantu mereka menangani masalah sepanjang proses pembinaan.
Penglibatan dalam pertandingan itu juga membolehkan pelajar mengaplikasikan ilmu kejuruteraan yang dipelajari, selain mengasah kemahiran dalam aspek reka bentuk, pembuatan dan penyelenggaraan automotif.
Kejayaan muncul juara keseluruhan itu menjadi pembakar semangat kepada pasukan FRATeC untuk terus meningkatkan mutu kereta formula yang dihasilkan bagi menghadapi pertandingan akan datang.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

FOLLOW SAYS
