Jabatan Pendidikan Negeri Selangor mengarahkan semua sekolah di lapan daerah ditutup esok berikutan situasi jerebu yang semakin memburuk.
SHAH ALAM: Semua sekolah di bawah pentadbiran lapan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Selangor iaitu Klang, Kuala Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat, Gombak, Sepang, Petaling Perdana dan Petaling Utama ditutup serta tidak beroperasi esok susulan situasi jerebu.
Kenyataan terkini Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) bagaimanapun memaklumkan bahawa sekolah di bawah pentadbiran PPD Hulu Selangor dan Sabak Bernam akan beroperasi seperti biasa.
“Namun demikian, semua aktiviti luar bilik darjah di kedua-dua daerah tersebut tidak dibenarkan.
“Ibu bapa, penjaga, murid dan seluruh warga pendidikan diminta mengambil maklum tentang pemakluman ini serta merujuk saluran JPNS bagi mendapatkan maklumat terkini,” menurut kenyataan itu.
Sebarang perubahan terhadap status pengoperasian sekolah akan dimaklumkan melalui saluran rasmi JPNS dan kerjasama serta perhatian semua pihak amat dihargai.
