PETALING JAYA: Seorang pemimpin DAP Melaka hairan dengan tindakan seorang pemimpin PKR menuntut kerusi Ayer Keroh yang merupakan kubu kuat DAP bagi PRN Melaka pada 14 Nov ini.
Kerk Chee Yee yang juga Adun Ayer Keroh sejak 2018 sehingga Dewan Undangan Negeri dibubarkan bulan lalu, berkata rundingan kerusi oleh Pakatan Harapan (PH) Melaka susah selesai.
"Saya tidak tahu apa motif di sebalik kenyataan itu. Ayer Keroh antara lapan kerusi diperuntukkan kepada DAP untuk ditandingi, sementara menunggu pengumuman calon.
"Saya juga mahu menggesa semua pihak (dalam PH) membincangkan agihan kerusi atau 'senarai hasrat' mereka secara tertutup kerana ada isu lain yang lebih penting untuk dibincangkan secara terbuka demi kepentingan awam," katanya kepada FMT.
Ahad lalu, Azman Abidin daripada PKR dilaporkan berkata, parti itu menyasarkan bertanding lapan hingga sembilan kerusi pada PRN Melaka, termasuk Ayer Keroh.
Timbul spekulasi Azman yang juga ketua PKR Wilayah Persekutuan akan dicalonkan di kerusi Paya Rumput.
Beliau ketika dihubungi mengesahkan Ayer Keroh antara kerusi yang disasarkan PKR, tetapi berkata "mungkin ada perubahan".
DAP merampas kerusi Ayer Keroh daripada Barisan Nasional (BN) pada 2008 menerusi Khoo Poay Tiong, yang kini ketua DAP Melaka; beliau berjaya mempertahankan kerusi itu buat penggal kedua pada 2013.
Kerk dipilih sebagai Adun Ayer Keroh pada 2018 dan membantu PH mempertahankan kerusi itu pada PRN 2021 dengan majoriti 5,624 undi menewaskan calon BN dan Perikatan Nasional.
