KUALA LUMPUR: Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan mewujudkan pelan induk khusus bagi menangani kemiskinan di kawasan bandar dan separa bandar dalam tempoh lima tahun akan datang.
Bekas perdana menteri itu berkata pelan berkenaan perlu memberi tumpuan kepada perumahan, kesihatan, pekerjaan, pendidikan dan bantuan sosial, dengan penglibatan agensi merentas kementerian bagi memastikan pelaksanaannya lebih menyeluruh dan berkesan.
“Berdasarkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah Malaysia dan Negeri 2024, jurang kemiskinan dan pendapatan antara bandar dengan luar bandar masih ketara. Kemiskinan mutlak luar bandar kekal pada 10% pada 2024. Pendapatan median isi rumah luar bandar hanya RM4,588 berbanding RM8,139 di bandar.
“Kemiskinan bandar juga menjadi isu yang semakin meruncing. Kadar kemiskinan mutlak bandar ialah 3.7% pada 2024, menurun daripada 4.5% pada 2022.
“Namun, kemiskinan relatif kekal tinggi pada 16.7%. Ini menunjukkan cabaran ketidaksamaan dan kos sara hidup masih relevan, termasuk dalam konteks bandar,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata pembangunan pesat di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru perlu dirancang dengan mengambil kira keperluan golongan miskin supaya mereka tidak semakin tertekan atau terpinggir.
“Suatu perancangan khusus hendaklah diadakan untuk memastikan golongan miskin bandar mendapat peluang ekonomi dan pendidikan untuk memajukan diri dan keluarga hasil daripada limpahan pembangunan di kawasan bandar,” katanya.
Bimbang sasaran sara diri beras menurun
Dalam ucapannya, Muhyiddin turut membangkitkan kebimbangan berhubung sasaran kadar sara diri (SSR) beras yang ditetapkan pada 54% bagi 2027, berbanding sasaran sebelumnya 59.9%.
Katanya, sasaran itu menimbulkan persoalan memandangkan pencapaian sebenar pada 2025 ialah 54.3%, sedangkan Rancangan Malaysia Ke-13 menetapkan sasaran SSR beras sebanyak 80% menjelang 2030.
“Kalau nak dianggap ini satu krisis, saya fikir ia sudah satu krisis bagi saya. Kita sudah sampai satu detik kritikal sekarang ini untuk menentukan langkah-langkah lebih tegas dan berani,” katanya.
Beliau mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas Kabinet yang dipengerusikan perdana menteri untuk tempoh lima tahun bagi merangka pelan tindakan lebih tegas untuk meningkatkan pengeluaran makanan negara.
Menurutnya, antara isu yang perlu diberi perhatian ialah tanah pertanian yang tidak digunakan serta peningkatan kos input pertanian.
Muhyiddin turut menggesa kerajaan melancarkan semula “Revolusi Hijau” bagi meningkatkan pengeluaran beras dan hasil makanan lain.
“Jangan salah faham macam hijau sebelah sana itu (PAS). Revolusi Hijau maknanya kita galakkan, giatkan dan ambil langkah drastik meningkatkan pengeluaran negara dalam semua hasil yang kita boleh bekalkan,” katanya, dipercayai merujuk secara berseloroh kepada PAS.
Sambut baik tindakan susulan RCI TH
Muhyiddin turut menyambut baik tindakan kerajaan melaksanakan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji, namun mengingatkan prinsip seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah perlu dihormati dalam sebarang prosiding mahkamah.
“Saya menggesa supaya kerajaan melaksanakan agenda reformasi institusi dengan lebih tuntas dan telus serta menguatkuasakan undang-undang secara adil dan saksama tanpa pilih kasih dan tanpa mengira pangkat, warna kulit dan fahaman politik.
“Saya juga mengalu-alukan sebarang langkah yang akan diambil untuk meneliti semula laporan-laporan yang melibatkan ketirisan dalam institusi berkaitan kerajaan seperti Felda dan lain-lain badan pada masa hadapan,” katanya.
Selain itu, Muhyiddin menggesa kerajaan mengambil langkah menyeluruh untuk meningkatkan kadar upah pekerja, termasuk menawarkan insentif kepada industri yang membayar gaji lebih tinggi selaras dengan kelayakan dan kemahiran pekerja, khususnya dalam bidang teknologi tinggi.
