PETALING JAYA: Waze menepis dakwaan ia mengumpul maklumat sensitif kerajaan atau membenarkan mana-mana pihak mengeksploitasi data peribadi pengguna selepas Malaysia melarang penjawat awam menggunakan aplikasi itu ketika menjalankan tugas rasmi.
Jurucakap syarikat itu berkata, dakwaan berkenaan "tidak benar sama sekali".
"Waze beroperasi di bawah dasar privasi ketat bagi melindungi data pengguna dan mematuhi piawaian perlindungan data undang-undang global," katanya dalam kenyataan yang dihantar melalui e-mel kepada FMT.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, melarang penjawat awam menggunakan Waze ketika menjalankan tugas rasmi atas kebimbangan keselamatan berkaitan aplikasi itu tertakluk kepada undang-undang Israel.
Tiada larangan dikenakan terhadap orang awam untuk menggunakan Waze, tetapi Anwar menggalakkan rakyat Malaysia beralih kepada alternatif tempatan seperti TuJu, yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Prosignal Consortium Sdn Bhd.
Anwar berkata, larangan itu bagi "melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel".
Syarikat induk Google, Alphabet memperoleh Waze pada Jun 2013 dengan nilai kira-kira USD1.15 bilion. Aplikasi itu diasaskan di Israel pada 2008 oleh tiga usahawan Israel.
Terdahulu, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Raja Nushirwan Zainal Abidin, hari ini memberi amaran maklumat dikumpul Waze, termasuk lokasi dan pergerakan perjalanan pengguna boleh digunakan untuk mengenal pasti rutin harian mereka.
Bagi penjawat awam, beliau berkata, perkara ini boleh menjadi isu sangat sensitif.
